Panggung Seni Tradisional sepanjang bulan Mac hingga Ogos tahun ini menampilkan lima (5) persembahan iaitu Wayang Kulit Gedek; pada 07 & 08 Mac 2014, Dramatari Klasik India – Anarkali; pada 11 & 12 April 2014, Koleksi Tari Borneo pula pada 09 dan 10 Mei 2014, Teater Tradisional Makyong; pada 20 dan 21 Jun 2014 dan persembahan Menora pada 15 & 16 Ogos 2014. Kelima-lima persembahan ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Wayang Kulit Gedek menampilkan Kumpulan Wayang Kulit Gedek Sri Asun, Jitra, Kedah yang dianggotai seramai lapan (8) orang ahli. Kumpulan ini diketuai oleh tokoh Wayang Kulit Gedek negeri Kedah iaitu Encik Abdul Majid Mohd Noh atau lebih mesra disapa sebagai Pak Majid.
Cerita yang disajikan bertajuk Nasib Si Miskin, mengisahkan seorang pemuda miskin yang menuntut ilmu di hutan dan akhirnya berkahwin dengan anak seorang ketua kampung.
Pada 11 & 12 April 2014, Dramatari Klasik India pula mengambil tempat persembahan. Kumpulan yang diketuai oleh Encik Ravi Shanker ini dikenali sebagai The Malaysian Performing Arts Society (Astana Arts Group) dan dianggotai 30 orang ahli.
Kisah yang dipaparkan di dalam pementasan ini juga menarik, kisah seorang wanita naif yang jatuh cinta dengan seorang putera raja. Kisah percintaan yang menyayat hati ini berakhir dengan tragedi.
Koleksi Tari Borneo menggabungkan persembahan dari Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya dan para pelajar Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Melibatkan seramai 40 orang penari; dan antara repertoire persembahan ialah tarian Ngajat Lesung, Limbai, Zapin Suara Siam, Mongigol, Alu-Alu, Rejang Be’eh, Kanjet Ngeleput, Kuda Pasu, Zapin Sebat, tarian Cocos, Daling-Daling, Mengiluk, Mangunatip dan Joget Serampang Baru. Persembahan ini telah dilaksanakan pada 09 & 10 Mei 2014 dan mendapat sambutan yang begitu hebat daripada para peminat tari tempatan.
Makyong yang telah diiktiraf sebagai warisan dunia oleh United Nations Educational Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dengan Third Proclamation of Masterpieces of The Oral and Intangible Heritage of Humanity pada tahun 2005 turut dipersembahkan dalam program ini.
Persembahan yang berlangsung pada 20 & 21 Jun 2014 telah menampilkan Kumpulan Makyong Kijang Emas yang diketuai oleh tokoh makyong Kelantan, Puan Ruhani Mat Zin dengan keanggotaan seramai 26 orang. Membawakan kisah Raja Panah yang berkelana mencari pujaan hati untuk dijadikan suri dalam hidupnya. Pementasan makyong ini mendapat sambutan yang hebat dari para penggemarnya.
Tanggal 15 & 16 Ogos 2014 pula, kesenian Menora mengambil giliran untuk dipentaskan. Kumpulan yang diterbangkan khas dari Kelantan ini ialah Kumpulan Menora Seri Timur, Kelantan. Dianggotai seramai 27 orang ahli dan dikepalai oleh tokoh Menora Kelantan yang tidak asing lagi, Encik Ah Chuam a/l Cha Di atau lebih mesra dipanggil Pak Chum.
Kisah Dua Saudara diangkat untuk pementasan ini, menceritakan tentang pertelingkahan dua beradik; Putera Cahaya Kaca dan Putera Cahaya Emas akibat hasad dengki dan fitnah. Pementasan Menora ini juga mendapat sambutan yang sangat baik malah mendapat sokongan minoriti masyarakat Siam Kelantan di Kuala Lumpur. Mereka hadir pada kedua-dua malam persembahan sebagai tanda sokongan.
Panggung Seni Tradisional ini akan diteruskan pada bulan September dengan mengangkat Teater Tradisional Jikey dan pada bulan Oktober pula, persembahan Koleksi Tari Klasik Malaysia akan dilaksanakan. Sama-samalah kita saksikan nanti dan teruslah menyokong peranan dan usaha JKKN dalam
menyemarakkan warisan seni tradisional rakyat yang autentik dan klasik ini agar tidak pupus dan dilupakan oleh generasi baru.
Laporan disediakan oleh : Art Mohamad
No comments:
Post a Comment