Memetik kata-kata seorang ahli falsafah keturunan Sepanyol, George Santayana bahawa “mereka yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulanginya..” menegaskan bahawa setiap dari kita perlu belajar dan tahu tentang sejarah negara dan bangsa agar dengan penghayatan itu maka kesilapan yang tercatat dahulu tidak diulang. Sejarah merupakan catatan peristiwa yang berlaku; dan pastinya ia tidak boleh diubah tetapi boleh dipelajari dan dihayati.
Bicara Seni Siri II anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) diteruskan dengan mengundang Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk Penghayatan Sejarah Dalam Pembinaan Jati Diri Bangsa. Putera kedua dari tiga beradik ini merupakan anakanda pasangan diraja Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Program ini diadakan dengan jayanya di Muzium Diraja, Jalan Istana, Kuala Lumpur pada 21 Mei 2014, pukul 2.30 petang. Seramai 323 orang peserta telah hadir bersama beberapa orang wakil media dari RTM, BERNAMA, Harian Metro, Utusan Malaysia dan lain-lain. Kehadiran YBrs. Encik Mohamad Razy Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN dan YBrs. Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN di samping kehadiran tetamu kenamaan seperti Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBhg. Kolonel Prof. Dato’ Dr. Haji Kamarudin Haji Kachar, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hood Salleh, YBhg. Dato’ Seri Azman Ujang, YBhg. Dato’ Fuad Abdul Rahman dan YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ghazali Dato’ Yusoff telah menyerikan lagi majlis ilmiah ini.
Hadir sama ialah para peserta program Ikon Siarawan terbitan RTM serta warga JKKN Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Personaliti TV RTM iaitu saudara Suhaimi Mohamed telah mengendalikan program ini sebagai pemudah cara.
Dengan senyuman berlesung pipit, ceramah disampaikan oleh Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz pada petang tersebut turut menyentuh tentang betapa peri pentingnya generasi muda untuk menghayati sejarah jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara, dari sudut ideologi politik, sosiobudaya dan ekonomi. Turut diingatkan ialah sejarah perlu dikaji, dihayati dan perlu disertakan dengan bukti agar tiada pemesongan fakta yang sahih. Justeru, penghayatan itu penting agar generasi muda tidak mudah lupa asal-usul diri dan akan membantu dalam pembinaan jati diri. Ceramah telah disampaikan di dalam bahasa Malaysia dan sesi soal jawab pula berlangsung dalam bahasa Inggeris.
Program yang berakhir pada pukul 4.30 petang ini telah berlangsung dengan lancar dan teratur serta mendapat maklum balas yang begitu baik dari para peserta dalam sesi soal jawab. Keseluruhannya, program ini mendapat pujian dan pandangan positif dari para peserta serta tetamu kenamaan.
Untuk nota, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz merupakan Pengasas dan Presiden Institute for Democracy and Academic Affairs (IDEAS), Felow Institut Penyelidikan CIMB ASEAN, Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit, Penasihat Yayasan Pusaka, Penaung Society of Malaysian Contemporary Composers dan Penaung Clap n Tap Children’s Orchestra.
Laporan disediakan oleh : Art Mohamad
No comments:
Post a Comment