Thursday 11 December 2014

BICARA SENI 2014 : KESEDERHANAAN DALAM PERPADUAN NASIONAL

Bertempat di Dewan Eksperimental, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pada 15 Oktober 2014 yang lalu, program Bicara Seni Siri IV telah dilaksanakan. Kali ini, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) JKKN telah mengundang seorang tokoh yang berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhaan Global iaitu Yang Berbahagia Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Temerloh, Pahang bagi tempoh 08 Mac 2008 hingga 05 Mei 2013. 

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Antarabangsa Kebudayaan Islam (CiTRA), Universiti Islam Antarabangsa ini telah dilaksanakan dengan kehadiran seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar UIA dan orang awam. YBhg. Encik Mohamad Razy Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Dasar dan Perancangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah sudi hadir bagi memeriahkan majlis. Turut hadir memberikan sokongan ialah YBrs. Encik Ghazali Bidin, Pengarah JKKN Selangor berserta timbalan beliau; Tuan Haji Saini Lini serta YBrs. Dr. Mahadi J. Murat, Pengarah CiTRA. Program ini telah berlangsung selama dua (2) jam dan dikendalikan oleh seorang pemudah cara yang tidak asing lagi, iaitu Saudara Suhaimi Mohamed. 
Di dalam ceramah beliau, Yang Berbahagia Dato’ Saifuddin Abdullah menekankan beberapa perkara seperti berikut :

1. Sikap kesederhanaan dan perpaduan antara kaum boleh dipupuk melalui sistem pendidikan negara;

2. Dialog antara kaum dan agama perlu diadakan bagi memupuk semangat toleransi dan kerjasama rakyat yang berbilang kaum;

3. Kepesatan pembangunan teknologi dan media sosial boleh mempengaruhi hubungan kaum di Malaysia;
4. Setiap umat Islam perlu memahami dan menjauhi sikap ‘pelampau’ dalam segala aspek kehidupan serta memahami Perlembagaan Negara demi kelangsungan keamanan;

5. Dana khas berbentuk intensif cukai boleh ditawarkan kepada pihak swasta yang mampu menganjurkan program/aktiviti yang melibatkan hubungan kaum khususnya di antara Semenajung dan Malaysia Timur.

6. Peranan serta penglibatan generasi muda bagi menyampaikan idea kepada pihak kerajaan melalui Badan Bukan Kerajaan (BBK) penting bagi menentukan hala tuju sesebuah negara.
7. Kesederhanaan dalam semua bidang yang merangkumi pendidikan, cara hidup berjiran, berkawan dan hubungan dengan pemerintah dilihat mampu untuk menyelesaikan banyak isu sensitif dengan baik;

8. Aktiviti sukan serta kerja-kerja kebajikan seperti gotong-royong juga salah satu usaha yang mampu memupuk perpaduan dan mengimbangi jurang antara kaum; dan

9. Walaupun negara telah mencapai kemerdekaan namun semangat toleransi dan perbincangan antara kaum perlu diteruskan bagi menjamin keamanan dan kestabilan negara.
Yang Berbahagia Dato’ Saifuddin Abdullah juga bersetuju bahawa untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum, kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan merupakan faktor utama seperti mana yang disarankan di dalam agama Islam. 


Program yang berakhir pada pukul 4.30 petang itu telah berlangsung dengan lancar dan teratur serta mendapat maklum balas yang begitu baik dari para peserta dalam sesi soal jawab. 


Laporan disediakan oleh : Art Mohamad

No comments:

Post a Comment