Suatu malam Frank duduk untuk menikmati makan malam bersebelahan seorang wanita kulit putih yang berasal dari Amerika. Frank melihat wanita ini amat janggal serta memakai pakaian yang kurang sesuai serta terlalu banyak bertanya. Dia mengandaikan wanita tersebut tentu seorang wartawan. Wanita tersebut telah bertanyakan soalan bertalu-talu kepadanya apabila mengetahui bahawa dia pernah bertugas di negara timur. Wanita itu bertanya mengenai budaya dan kelakuan orang Melayu yang dianggapnya sebagai satu bangsa gasar dan tidak bertamadun atau “savagaes”.
Frank berkata bahawa wanita tersebut telah salah faham mengenai orang Melayu dan menyebut orang Melayu sebagai “savage” atau bangsa tidak bertamadun adalah salah. Namun wanita tersebut membalas kenyataan Frank dengan mengatakan bahawa setiap bangsa yang berkulit hitam dan tidak beragama Kristian boleh dianggap sebagai tidak bertamadun. Frank bertegas menolak pendapat wanita berkenaan dan menyatakan bahawa orang Melayu bukanlah bangsa kulit hitam. Namun Frank melihat wanita tersebut tetap tidak percaya, malah wanita itu berkata itu semua tidak penting kerana mereka tetap tidak berkulit putih dan tidak berpakaian.
Frank merasakan tidak selesa dengan pelbagai soalan dan kenyataan kurang enak dari wanita berkenaan. Akhirnya Frank bekata, “Anda mungkin terkejut jika saya katakan bahawa jika orang yang anda sebut sebagai savage itu melihat anda sekarang, mereka pasti akan mengatakan yang anda juga tidak lengkap berpakaian, mereka beranggapan pakaian orang barat adalah tidak sopan dan tidak beradab."
“Sudah semestinya." Kata wanita Amerika berkenaan. “Saya juga kadang kala berfikiran seperti itu, tetapi menurut saya adalah pelik untuk orang gasar seperti mereka peduli tentang hal yang sedemikian.”
Ternyata segala kata-kata Frank tidak memberikan apa-apa makna bagi wanita berkenaan. Ia bagaikan mencurahkan air ke daun keladi, atau masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
Terkait dengan peristiwa tersebut, Frank teringat akan suatu perkara. Beberapa hari yang lalu beliau telah menulis sepucuk surat kepada seorang sahabatnya iaitu seorang Sultan Melayu. Surat tersebut adalah untuk bertanyakan khabar dan menyatakan keinginan untuk berziarah. Akhirnya beliau telah mendapat blasan daripada surat tersebut , surat daripada seorang bangsa gasar, ganas, keras dan kejam tersebut.
Dalam sampul yang sampai terdapat tiga surat. Satu adalah surat rasmi yang penuh dengan kesopanan dan kata-kata pujian yang ditulis oleh jurutulis dengan menggunakan tulisan Jawi.
Tulisannya adalah sangat halus, jelas dan tepat seolah-olah ianya di cetak. Surat kedua adalah tulisan tangan oleh sahabat Frank sendiri iaitu Sultan tersebut, juga dalam tulisan Jawi, namun tulisannya agak sukar untuk difahami. Dan surat yang ketiga pula adalah surat khas yang tajuknya ditulis “Rahsia Sulit” yang juga ditulis tangan oleh Sultan.
Disini dikongsikan terjemahan untuk bahagian pendahuluan surat yang pertama. Di bahagian atas surat pada muka pertama ditulis:
“Persahabatan kita termeterai di ceruk terdalam hati saya.” Kemudian: “Saya mengirim surat ini kepada yang dimuliakan sahabat saya” (disertakan dengan nama , pangkat, dan puji-pujian).
Kemudian ditulis: “Kamu, sahabatku tidak pernah lekang dari fikiran saya, dan saya mengharapkan yang baik-baik sahaja terhadap kamu. Saya mendapat tahu yang kamu ingin bertemu dengan saya, dan kerana itu saya sangat senang hati bagaikan bulan jatuh ke riba, bagaikan mendapat sejambak bunga dari taman Benjerdana sri yang kembang mekar dibawah sinaran mentari pagi.
Semoga tuhan yang maha kuasa percepatkan pertemuan kita, supaya kita dapat melepaskan rasa rindu. Ketika menulis surat ini, dengan rahmat tuhan dan atas doa kamu, saya dan keluarga adalah dalam keadaan sihat, dan daerah ini dalam keadaan aman sentosa, tetapi air sungai telah melimpah dan naik keparas yang sangat tinggi yang membuatkan saya khuatir akan keselamatan jambatannya.”
Begitulah sebahagian kecil daripada isi surat tersebut. Adakah ini cara tulisan seorang bangsa yang gasar, ganas dan tidak bertamadun?
Menurut Frank jika si bangsa savage ini telah "bertamadun" suatu hari nanti, pasti surat-suratnya akan ditulis begini:
“Dear sir dan diakhiri dengan “Yours truly."
Segala surat menyuratnya pasti akan bertaip dan tidak lagi ditulis dengan cantik dan kemas dalam tulisan Jawi tetapi dalam huruf dan bahasa Inggeris. Jika si wanita Amerika tersebut membaca surat itu pasti menyangka si penulis adalah seorang ahli perniagaan dan seorang Kristian, dan bukan berkulit hitam atau savages.
Frank dalam tulisan ini adalah Sir Frank Sweettenham Resident General Negeri-Negeri Melayu bersekutu. Ternyata si pegawai British ini tahu bahawa bangsa Melayu bukanlah sebuah bangsa yang gasar atau tidak bertamadun. Daripada tulisannya ini jelas menunjukkan yang beliau kagum dan menghormati keintelektualan bangsa Melayu. Beliau juga sedar bahawa apabila kebudayaan barat mula menyebar dan terserap dalam budaya dan cara hidup Melayu maka unsur-unsur kesenian dan keintelektualan klasik Melayu itu akan sirna dan hilang.
Pada zaman ini jika mukaddimah surat ditulis dengan panjang dan penuh berbunga-bunga akan dianggap kolot, ketinggalan zaman atau meleret-leret dan membazir kertas. Baik surat rasmi mahupun tidak rasmi pada hari ini semuanya tidak memberikan sebarang gambaran tentang si penulis. Kalau surat-surat orang "lama" kita sedikit sebanyak boleh mengetahui bagaimanakah perwatakan si penulis melalui tulisannya, kerana ia penuh dengan jiwa dan disulami dengan keikhlasan yang datang dari hati. Ia sesuai dengan pepatah yang menyebut BAHASA MELAMBANGKAN BANGSA.
Gaya bahasa penulisan anak-anak muda sekarang adalah jauh berbeza dari gaya bahasa atuk dan nenek kita pada zaman dahulu. Sekarang surat menyurat juga sudah hampir pupus. Tidak ada lagi rakan pena, tidak ada lagi surat cinta dan tidak ada lagi anak-anak yang belajar di perantauan menghantar surat meruntun rindu pada ibu dan ayah di kampung.
Malah kenyataan Frank iaitu berkenaan tulisan Jawi yang akan diganti dengan tulisan Inggeris juga telah berlaku. Ternyata disini orang barat yang lebih menghargai nilai-nilai estatika persuratan Melayu lama dan keintelektualan Melayu klasik. Tetapi anak muda kita pula mencemuh dan beranggapan itu semua kolot, tidak Cool, tidak standard, dan kekampungan.
Wallah hu a’lam.
~ASJ~
Frank Swettenham's "Unaddressed Letters" ,1898, London: John Lane.
No comments:
Post a Comment