Kalau semalam 28 Mei ialah tertegaknya matahari di atas Kaabah pada waktu Malaysia, maka pada 29 Mei 1453 pula ialah tertegakmya bendera Turki Utsmaniyyah di atas dinding pos benteng Kota Konstantinopel yang dipacakkan oleh Ulubatli Hasan.
Ekspedisi penawanan Kota Konstantinopel yang bermula pada 6 April 1453 iaitu cubaan awal Sultan Fatih untuk menyerang Kota Konstantinopel gagal. Setelah kegagalan tersebut, Sultan Muhammad al-Fatih telah menyusun kembali strategi untuk menakluk Kota Konstantinopel melalui Tanduk Emas. Beliau mengarahkan tentera-tentera untuk memindahkan 70 kapal kecil merentasi ‘lautan darat’ di bukit Galata. Maka peperangan ini berterusan sehinggalah tamat pada 29 Mei 1453 yang dimenangi Turki Utsmaniyyah hasil pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih.
Telah banyak percubaan penaklukan yang telah dilancarkan oleh pemimpin-pemimpin Islam sebelum tahun 1453 Masihi iaitu;
Abu Ayyub al-Anshori, Muawiyah bin Abi Sufyan – 44 Hijrah.
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik dari Dinasti Umayyah – 98 Hijrah.
Khalifah Harun al-Rasyid dari Dinasti Abbasiyyah – 190 Hijrah.
Sultan Orkhan bin Utsman – 727 Hijrah.
Sultan Bayazid I – 769 Hijrah.
Sultan Murad II – 825 Hijrah.
Selain tentera dari empayar Islam, terdapat juga beberapa empayar lain yang mencuba untuk menembusi benteng raksasa ini. Mereka ialah bangsa Gothik, Avars, Persia, Bulgar, Rusia, Khazar dan Tentera Salib. Percubaan Tentera Salib menemui kejayaan pada tahun 1204 dan kemudian dirampas pada tahun 1261 Masihi.
Peperangan yang berpanjangan selama 53 hari ini menunjukkan betapa kebalnya Kota Konstantinopel tetapi berjaya juga ditawan. Pada hari kemenangan iaitu pada 29 Mei 1453, Sultan Muhammad al-Fatih telah memasuki dengan secara rasminya Kota Konstantinopel melalui pintu gerbang benteng di Edirnekapi. Wallahua’lam
Penulis di pintu gerbang yang telah dimasuki oleh Sultan Muhammad al-Fatih
Terjemahan kepada yang tertulis pada plat : Surah al-Fath, ayat pertama ‘Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata’. Pada 20 Jamadil Awwal 857 Hijrah dan 29 Mei 1453 Masihi, Selasa pagi, tentera al-Fatih telah masuk ke dalam Istanbul dari lubang yang telah dibuka pada kawasan ini.’
Keterangan ada pada ruang hadapan pintu gerbang
No comments:
Post a Comment