Monday, 22 May 2017

PERTEMPURAN HATTIN: TENTERA SALIB “DISEKSA” OLEH SALAHUDDIN AL-AYUBI

Pertempuran Hattin (4 Julai, 1187) adalah sebuah pertempuran yang jelas menunjukkan kebijaksanaan Salahudin Al-Ayubbi, selaku sebagai salah seorang daripada jeneral perang paling bijak dalam peperangan, terutama dalam pertempuran ini. Dan dalam pertempuran inilah saya terpanggil untuk menjadikan naskah utama yang menceritakan tentang seni peperangan kepada kita iaitu The Art Of War dan juga Thirty-Six Strategies sebagai rujukan utama kita dalam bercerita tentang kebijaksanaan Salahudin Al-Ayubbi.

Baik, sebelum kita meneruskan perbincangan kita, moleknya saya cadangkan agar kita buat sedikit analisis tentang kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua belah pihak dalam Pertempuran Hattin, untuk memudahkan lagi pemahaman kita tentang pertempuran yang tercetus di Medan Hattin ini.

Tentera Islam

– Komander Perang: Salahudin Al-Ayyubi
– Jumlah tentera: Lingkungan 20-30 ribu orang

Tentera Salib:

– Komander Perang: Guy dari Lusignan, Raymon III dari Tripoli, Gerard de Rideford, Balian dari Ibelin dan Raynald dari Chatillon

– Jumlah tentera: 20 ribu orang.

Pengenalan

Detik 1170 Masihi menyaksikan kepada kita bagaimana lahirnya seorang tokoh yang cukup dikagumi dalam sejarah Islam menyatukan seluruh kerajaan-kerajaan kecil Islam di sekitar Palestine, demi merebut kembali Baitulmaqdis ke tangan orang Islam.

Dalam masa yang sama, Raja Guy pula mendakwa dia pemilik takhta Kerajaan Jerussalem, melalui perkahwinanya dengan Sibylla, ibu kepada mendiang Raja Baldwin, seorang raja kanak-kanak-kanak. Kenaikkan Raja Guy ini disokong oleh Raynald dan juga tentera-tentera salib.

Namun pemangku Raja Baldwin iaitu Raymond III pula tidak puas hati dengan kenaikan Guy. Perang saudara pula hampir sahaja tercetus, dan mujurlah Balian dari Ibelin sempat masuk campur. Dalam masa yang sama, perjanjian keamanan yang dijalankan tercemar apabila Raynald telah menyerang caravan pedagang umat Islam, malah telah merogol dan membunuh adik perempuan Salahuddin sendiri.

Salahudin Al-Ayyubi yang masih berpegang teguh pada perjanjian yang dijalinkan dengan orang Kristian, menghantarkan utusan ke Guy untuk menuntut ganti rugi dan perhitungan yang seadilnya. Namun atas nasihat Raynald, maka Guy menghalau utusan tadi pulang, sekaligus mencetuskan peperangan.

Analisis Taktikal dan Strategi Kedua-dua Pihak

Baik, sekarang kita sudah jelas bukan tentang pertempuran ini? Maka kata saya mari kita meneliti pula tentang strategi perang yang digerakkan oleh Salahudin Al-Ayubi dalam menggempur 20 ribu orang tentera Salib. Maka izinkan saya memetik setiap strategi perang yang pernah diajarkan oleh Sun Tzu diulang semula dalam pertempuran ini.

1. Serang Wei Untuk Menyelamatkan Zhao

Strategi ini direkodkan paling awal dalam sebuah karya perang China yang bertajuk Thirty-Six Strategies. Maksud ayat “serang Wei untuk menyelamatkan Zhao” adalah bermaksud apabila musuh terlalu kuat untuk diserang secara terus, maka seranglah sesuatu yang sangat disayangi oleh musuh.

Sekejap… bagaimana strategi yang digunakan ketika era zaman China ini tiba-tiba boleh dijadikan rujukan utama untuk Pertempuran Hattin? Jawapannya sangat senang. Kita kena kaji strategi Guy dan tentera Salib dalam pertempuran ini.

Ketewasan tentera Islam sebelum ini adalah kerana apabila Guy menguasai sumber air terdekat dengan tentera Islam dan memanjang pertempuran selama mungkin, bagi membiarkan panas melemahkan tentera Islam sebelum memberi “final-blow” pada tentera Islam.

Salahudin Al-Ayyubi memang menyedari akan strategi Guy ini. Jadi, apa yang dilakukan oleh Salahudin Al-Ayyubi untuk menjauhkan Guy dari sumber air di Sephoria?

Maka sejarah mencatatkan strategi yang pernah digunakan di China pada 343 SM dahulu diulang balik. “Serang Wei untuk menyelamatkan Zhao” kembali digunakan oleh Salahudin Al-Ayyubi. Cuma kali ini, mungkin strategi itu berbunyi seperti “serang Tiberias untuk memandu Guy keluar.”

Ya, Salahudin Al-Ayyubi tidak terus menyerang Guy yang berkampung di Sephoria sebaliknya terus menghalakan ketumbukan askarnya ke arah Tiberias. Mahu menyelamatkan kubu mereka di Tiberias, Guy terus memimpin askarnya untuk menggempur tentera Salahudin Al-Ayyubi yang sedang menghala ke arah Tiberias.



2. “Apabila musuh sedang santai, buat mereka menderita. Apabila musuh sedang kekayangan, buat mereka lapar. Apabila musuh sedang berhenti, buat mereka bergerak!” – The Art Of War, Sun Tzu

Ramai yang bertanya kenapa saya begitu taksub membaca The Art Of War. Jawapannya mungkin di sini apabila kita mampu mengaitkan setiap strategi di dalamnya dengan pertempuran-pertempuran yang berlaku di seluruh dunia, bahkan mungkin di luar China juga.

Dan apa yang diceritakan oleh Sun Tzu dalam bukunya seperti diulangi oleh Salahuddin Al-Ayubbi di dalam bukunya. Pertama, Salahuddin Al-Ayyubi sedang bikin tentera Salib kelaparan, atau lebih sesuai kehausan.

Semua tahu yang Guy sedang memimpin askarnya ke arah Tiberias demi menghentikan Salahudin. Dan bentuk muka bumi di sekitar medan pertempuran mereka pula ialah padang pasir yang tandus, dan perkara utama berperang di muka bumi tandus ini ialah sumber air!

Sepanjang perjalanan Guy ke Tiberias, mereka singgah di air mata air di Turan yang berkedudukan 6 batu daripada Sephoria. Mereka berehat di air mata air itu. Selepas itu, meskipun Tiberias berjarak 9 batu jauhnya, Guy mengarahkan askarnya untuk terus menghalakan perjalanan ke Tiberias walaupun mereka tahu tiada sumber air di antara jalan ke sana.

Menyedari bahawa Guy telah jauh dari jarak sumber air di Turan itu, maka Salahudin Al-Ayyubi mengarahkan sayap kanan dan kiri berkudanya mengepung Guy dan menutup terus laluan untuk ke Turan. Sekarang ni Gay ada dua pilihan, untuk kekal di situ atau terus mara ke Tiberias kerana Tiberias ialah sumber air terdekat.

Percaya bahawa barisan askarnya tidak mungkin dapat menewaskan Salahudin yang sedang berkawal di mata air Turan, maka Guy dengan nasihat daripada Raymond untuk menuju terus ke sebuah lagi mata air bernama Hattin, yang lebih kurang 9.7 Kilometer dari lokasi mereka.

Diceritakan bahawa tentera salib berkampung di sebuah kampung bernama Meskana akibat terpaksa kerana dihimpit oleh tentera Salahudin Al-Ayyubi. Pada malam itu juga, Salahudiin memastikan bahawa semangat dan morale tentera Salib terus jatuh. Diceritakan bahawa malam itu juga, tentera Salahudin Al-Ayyubi solat, berzikir, azan, memainkan dram, melaungkan kata-kata semangat untuk pasukan mereka dengan sangat kuat sehinggakan boleh didengari oleh tentera Salib. Bahkan, rumput-rumput kering turut dibakar untuk menambahkan efek kehausan yang sedang dihadapi oleh tentera Salib. Inilah bentuk seksaan yang saya maksudkan dalam tajuk besar artikel ini.

Sekarang, Salahudin Al-Ayyubi telah melaksanakan satu daripada arahan taktikal Sun Tzu. Kalau musuh sedang kekenyangan, maka buat mereka kebuluran. Salahudin Al-Ayyubi sebenarnya sedang bikin tentera Salib kehausan! Bahkan Salahudin turut buat tentera Salib terseksa dan tidak senang duduk dengan segala provokasi yang menjatuhkan moral mereka. Ini bertepatan dengan sambungan frasa ini yang berbunyi, “…apabila musuh sedang santai, buat mereka menderita. Apabila musuh sedang berhenti, buat mereka bergerak!”

Bahkan pada waktu pagi itu, mereka diganggu pula dek asap yang diwujudkan oleh tentera Islam sehingga membataskan pengelihatan mereka. Kerana keterpaksaan, maka Guy menyuruh semua tentera Salib bersedia dan terus menuju ke arah mata air di Hattin dalam keadaan kepenatan dan kehausan yang amat sangat.

Serangan tentera Salib dapat dipatahkan oleh Salahudin Al-Ayyubi. Namun dua serangan daripada Raymond berjaya membelah barisan tentera Islam yang sedang berjaga lalu berjaya berada di luar perimeter kawalan tentera Islam. Namun oleh kerana mempunyai jumlah askar yang agak sedikit membuatkan Raymond tidak mampu mempengaruhi pertempuran lalu lari meninggalkan Guy terkontang-kanting.

Mereka akhirnya berundur sehingga di Tanduk Hattin, lalu terkepung dek tentera Islam yang berkawal penuh mengelilingi mereka. Akhirnya, menyedari kebanyakan tentera Salib telah berjaya dihabiskan oleh umat Islam dalam pertempuran ini, maka Guy sendiri menyerah kalah kepada Salahudin Al-Ayyubi apabila khemah Guy sendiri ditawan oleh tentera muslim.

Guy dilayan dengan baik oleh Salahudin Al-Ayyubi manakala Raynald dihukum bunuh kerana pengkhianatannya sebelum ini. Bertolak dari kemenangan ini, maka Salahudn Al-Ayyubi terus menawan beberapa buah jajahan dan kota seperti Acre, Jaffa, Nablus, Toron, Sidon, Beirut dan Ascalon. Lalu dari situ, Salahudin Al-Ayyubi terus menyasarkan Baitulamaqdis dan menawannya.


No comments:

Post a Comment