Monday, 29 May 2017

SIMBOLISME TEMBOK RATAPAN YAHUDI

Donald Trump menjadi presiden Amerika pertama yg menziarahi Tembok Barat (Inggeris: Western Wall, Ibrani: Kotel Maaravi) sewaktu menjadi presiden. Presiden sebelum ini seperti Bush Senior, Clinton, Bush Junior dan Obama hanya melawat sewaktu tidak jadi presiden, kerana tembok tersebut mengandungi simbolisme yang dikhuatiri akan mencetuskan kontroversi.
Hasil carian imej untuk tembok ratapan
Jerusalem atau Baitul Maqdis (al-Quds) merupakan kota suci bagi ketiga-tiga agama Samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi (Judaism). Bagi orang Islam, disini berdiri Masjid Al-Aqsa (tempat berlakunya Israk dan Mikraj dan kiblat pertama umat Islam). Bagi orang Kristian, disini berdiri Church of the Holy Sepulchre (tempat Jesus disalib, dikebumikan dan dibangkitkan semula).
Hasil carian imej untuk tembok ratapan
Bagi orang Yahudi, Tembok Barat ini merupakan baki kuil yang dibina oleh Bani Israil semasa pemerintahan Nabi Sulaiman (Solomon). Al-Haram al-Sharif dahulunya dikenali sebagai Temple Mount dan disitu pernah berdiri kuil Solomon’s Temple (Heikhal Shlomo atau Haikal Sulaiman). Haikal Sulaiman dihancurkan oleh tentera Babylon pada tahun 586 Sebelum Masihi, digantikan dengan kuil kedua. Kuil kedua juga dihancurkan sepenuhnya oleh tentera Rom pada tahun 70 Masihi, hanya satu tembok sahaja yang tinggal iaitu Tembok Barat pada hari ini.
Hasil carian imej untuk tembok ratapan
Orang Yahudi yang bertebaran di serata Timur Tengah dan Eropah menjadikan tembok ini sebagai tempat pergantungan, tempat berdoa dan tempat mengenang nasib dan sejarah kaum Yahudi. Orang Yahudi menangis sambil berdoa dan mengenang nasib mereka, jadi tembok ini juga dikenali sebagai Tembok Tangisan (Wailing Wall).
Hasil carian imej untuk tembok ratapan
Sejak tahun 1967, Jerusalem Timur telah dikuasai oleh Zionis, maka Tembok Barat dijadikan tempat beribadah bagi orang Yahudi. Ada juga orang Israel yang fanatik ingin membina Kuil Ketiga, namun perkara tersebut adalah terlarang dalam ajaran Judaism yang ortodoks kerana Kuil Ketiga hanya boleh dibina oleh Tuhan.
Hasil carian imej untuk tembok ratapan
Walaupun presiden-presiden Amerika ini Kristian, namun kisah Kuil Pertama (Haikal Sulaiman) dan Kuil Kedua ada tercatat dalam Bible (bahagian pertama Bible, Old Testament adalah kitab Torah orang Yahudi). Jadi, adalah normal bagi mereka untuk beribadah di Tembok Barat.

Tambahan pula, di Amerika terdapat tren fundamentalisme yang dibawa oleh golongan evangelis yang suka menafsir Bible secara literal: mereka menganggap “Israel” yang dimaksudkan dalam Bible merujuk kepada Israel yang dibina oleh Zionis, ini menyebabkan mereka taksub kepada Israel dan mendesak pemimpin Amerika untuk menyokong Israel. Jadi, kunjungan Trump ke tembok itu bermotif politik, lebih kepada buat “show”. Lagipun, ia padan dengan Trump kerana anaknya, Ivanka merupakan penganut Judaism selepas mengahwini Jared Kushner (seorang Yahudi).

Netanyahu lebih mengharapkan perkara-perkara yang betul-betul membawa manfaat kepada Israel, bukannya “show” seperti ini. Malah lawatan Trump kali ini boleh dikatakan mengecewakan Israel kerana Trump tidak memberi apa-apa komitmen yang kukuh kepada Israel, malah janji Trump untuk memindahkan kedutaan Amerika ke Jerusalem turut ditangguhkan. Pemindahan kedutaan membawa maksud tersirat bahawa Amerika akan mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel kerana kedutaan ditempatkan di ibu negara sesebuah negara.

Tahun ini genap 50 tahun Baitul Maqdis Timur dikuasai oleh Israel selepas kekalahan Jordan dalam Perang Enam Hari. Walau bagaimanapun, Israel tidak mempunyai hak ke atas Baitul Maqdis Timur (termasuk Al-Haram al-Sharif) kerana komuniti antarabangsa tidak mengiktiraf pendudukan Israel. Di kalangan 5 kuasa besar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Rusia dan China menyokong Baitul Maqdis Timur dijadikan sebagai ibu negara Palestin. Amerika menyokong Baitul Maqdis dijadikan sebagai ibu negara Israel. UK dan Perancis menyokong usul UN untuk menjadikan Baitul Maqdis sebagai “corpus separatum”, bandar yang ditadbir oleh komuniti antarabangsa.

Nama Jerusalem membawa maksud “Kota Keamanan” (“salem” itu bermaksud “salam”). Namun namanya sentiasa terpaut dengan konflik. Adakah akan sampai satu hari nanti, anak-anak Nabi Ibrahim a.s. akan bersama-sama beribadah secara aman damai, di kota suci ini?

Kita masih mampu berharap.

Bacaan Lanjut:

Karen Armstrong, Jerusalem: One City, Three Faiths (1996)

Michael Dumper, The Politics of Jerusalem Since 1967 (2005)


No comments:

Post a Comment