Thursday, 11 May 2017

RUMAH TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN MASIH GAH PADA USIA 100 TAHUN

KUALA PILAH – Rumah tradisional Negeri Sembilan sememangnya mempunyai identitinya yang tersendiri apabila setiap perincian seni binanya memiliki maksud tersirat. Sebuah rumah di Kampung Bukit Tempurung Seri Menanti di sini, dilihat masih utuh meskipun terdapat beberapa bumbungnya sudah usang berikutan usianya hampir mencecah 100 tahun. Rumah itu adalah warisan milik Allahyarham Salleh Abd Wahab yang kini dipelihara cucunya, Norasiah Pilus, 74.
Rumah Tradisional Negeri Sembilan Masih Gah Pada Usia 100 Tahun
Kata Norasiah, rumah itu dibina sekitar tahun 1920-an oleh seorang tukang Melayu.
“Arwah datuk seorang guru agama dan pernah mengajar di Gunung Pasir dan Tanjung Ipoh. Secara keseluruhan, rumah ni diperbuat daripada kayu Penak diambil dari hutan berhampiran. Hingga kini ia masih utuh, malah seni binanya dikekalkan macam mula-mula dibina. Walaupun ada sebahagian ruang rumah dah usang, tapi ia masih cantik. Ada sesetengah orang cakap rumah kayu agak ketinggalan zaman, tapi Wan masih berpegang teguh dengan amanat supaya jaga rumah ni untuk diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, bentuk rumah ini adalah rumah tradisional Negeri Sembilan dan bumbungnya pula sama seperti rumah tradisional yang lain.

“Identiti utama yang mencerminkan Negeri Sembilan adalah seni bina bumbung rumah yang panjang serta melentik di hujungnya. Begitu juga ruang serambi Negeri Sembilan yang mempunyai bentuk memanjang dan terdapat bahagian hujung dan pangkal yang ditentukan mengikut laluan arus sungai. Bahagian hujung selalunya di kedudukan hilir sungai, manakala pangkal di sebelah hulu. Malah rumah ini terdapat juga ruang serambi berbentuk kotak yang dibina sebagai pintu utama rumah ni. Ruang ni dibina untuk ahli keluarga ambil angin dan berehat pada waktu petang,” katanya.

Ujar Norasiah, turut dibina sebuah kolah air berhampiran tangga naik ke rumah untuk digunakan sebagai menyimpan air serta membasuh kaki sebelum naik ke rumah.

“Rumah ni turut memiliki 24 batang tiang yang diperbuat daripada kayu serta dilapik dengan konkrit. Bermula dari tiang utama yang berperanan sebagai tunjang utama sebuah rumah bagi membentuk sebuah kediaman yang berperanan bukan saja sebagai tempat berteduh, malah jadi tempat untuk aktiviti kemasyarakatan dan keraian,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, Norasiah tidak mendiami rumah pusaka itu, sebaliknya tinggal di rumahnya sendiri.
Rumah Tradisional Negeri Sembilan Masih Gah Pada Usia 100 Tahun
Sementara itu, Penolong Kurator Unit Adat Perpatih Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) berkata, rumah Negeri Sembilan masih gah bertahan sehingga hari ini walaupun sudah dibina puluhan tahun dahulu.

“Rentetan itulah, telah menarik ramai pihak untuk mengkaji kelebihan seni bina rumah dan ciri yang menampilkan keunikan serta identiti rumah tersebut. Ini termasuk mahasiswa dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang konservasi warisan yang sedang menjalani latihan praktikal di LMNS,” katanya.

Mahasiswa, Siti Amrah Nasri, 24, yang berasal dari Perak akui teruja apabila berpeluang mengkaji rumah tradisional Negeri Sembilan.

“Jika diperhalusi, rekaan yang terdapat di rumah ini masih lagi menggunakan teknologi tradisional tukang Melayu iaitu teknik tanggam. Malah motif ukiran yang terdapat di rumah ini sangat halus buatannya dan perlu dipertahankan kerana melalui seni ukiran tersebut kita dapat mengetahui tahun bila ia dibuat dan siapa pengukirnya,” katanya. – Sumber Sinar Harian

1 comment: